MSB Global sasar kumpul modal RM26.6 juta daripada IPO

KUALA LUMPUR: Syarikat pengedar peralatan automotif yang akan disenaraikan di Pasaran ACE, MSB Global Group Bhd mahu mengumpulkan RM26.6 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

IPO syarikat itu membabitkan penerbitan 133 juta saham baharu pada harga terbitan 20 sen sesaham.

Daripada jumlah hasil itu, RM4.97 juta digunakan bagi membiayai kilang dan gudang baharu, RM6 juta akan dipakai untuk membeli jentera dan bahan mentah, RM840,000untuk pengedaran jenama pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang dibangunkan sendiri, RM5.5 juta untuk pembayaran balik pinjaman, RM4.79 juta sebagai modal kerja serta RM4.5 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif MSB Global, Ow Chen Lun, berkata pembinaan kilang dan gudang baharu dijangka mengambil masa 18 bulan selepas IPO berkenaan.

“Garis masa operasi penuhnya boleh berlanjutan sehingga tiga tahun disebabkan tambahan masa yang diperlukan bagi tujuan pelesenan dan kelulusan,” katanya kepada media selepas pelancaran prospektus IPO syarikat di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa MSB Global sedang memasuki pasaran pengecas EV untuk mewujudkan kehadiran awal dalam industri yang semakin meningkat.

“Kami sedang mengasaskan posisi dalam trend yang baru muncul ini. Namun, infrastruktur EV Malaysia masih belum dibangunkan sepenuhnya, oleh itu, kami mempelbagaikan ke pasaran ini untuk mempersiapkan cabaran masa depan,” katanya.

Chen Lun ketika ditanya mengenai kesan Perintah Perihal Perdagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Bermotor) 2024 yang berkuat kuasa menjelang 7 April memberitahu peraturan itu terpakai kepada pengeluar manakala MSB Global beroperasi sebagai syarikat perdagangan.

“Berdasarkan pemerhatian saya, pembekal kami telah mula mendaftar dan sedang menunggu pemeriksaan tapak,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata semua minyak enjin keluaran tempatan termasuk import perlu disahkan oleh Sirim QAS International Sdn Bhd, dengan pengeluar diberikan tempoh selama enam bulan mulai 11 Oktober 2024 untuk mematuhi.

Permohonan untuk IPO syarikat tersebut akan ditutup menjelang 4 April 2025, dengan syarikat itu dijadualkan untuk disenaraikan pada 15 April 2025.

M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama IPO, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan.

-BERNAMA

Source:
http://bharian.com.my/bisnes/korporat/2025/03/1375280/msb-global-sasar-kumpul-modal-rm266-juta-daripada-ipo



Leave a Reply

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com