IPO MSB Global terlebih langgan 6.46 kali

KUALA LUMPUR: Tawaran Awam Permulaan (IPO) MSB Global Group Berhad (MSB Global), syarikat dalam industri alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran tempatan, mencatatkan kadar terlebih langgan sebanyak 6.46 kali, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap sektor automotif negara.

IPO itu melibatkan terbitan 133 juta saham biasa baharu dan penjualan 74 juta saham sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan penawaran sebanyak 207 juta saham berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 15 April ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 30.50 juta saham atau lima peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan dikhaskan untuk pelabur awam Malaysia, termasuk 2.50 peratus untuk Bumiputera.

Pengarah Urusan MSB Global, Datuk Ow Kee Foo, berkata pihaknya menerima sebanyak 4,849 permohonan untuk 227.41 juta saham bernilai RM45.48 juta, menunjukkan minat tinggi daripada pelabur awam.

“Bahagian Bumiputera sahaja menerima 2,129 permohonan bagi 60.74 juta saham terbitan, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 2.98 kali. Manakala, bahagian bukan Bumiputera pula mencatatkan 2,720 permohonan untuk 166.67 juta saham, iaitu terlebih langgan sebanyak 9.93 kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, sambutan positif ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap model perniagaan MSB Global, kedudukan kukuh dalam industri serta pelan pertumbuhan jangka panjang syarikat.

“Kami amat berterima kasih atas maklum balas positif ini. Hasil daripada IPO ini akan membolehkan kami mempercepatkan pengembangan, terutama dalam meningkatkan keupayaan pembuatan dan memperkenalkan penyelesaian baharu yang lebih baik untuk industri automotif selepas pasaran,” katanya.

Selain itu, sebanyak 6.10 juta saham atau satu peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan diperuntukkan kepada pengarah, pengurusan kanan dan pekerja menerusi Peruntukan Borang Merah Jambu.

Sebanyak 76.25 juta saham atau 12.50 peratus pula dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sementara itu, 20.15 juta saham atau 3.30 peratus diagihkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, selain 74 juta saham atau 12.13 peratus untuk penempatan persendirian lain.

MSB Global dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 15 April ini, dengan M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi penyenaraian berkenaan.

Source:
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2025/04/1382023/ipo-msb-global-terlebih-langgan-646-kali



Leave a Reply

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com